Anda tergolong dalam golongan mana? Bercakap banyak atau dalam erti kata lainnya peramah atau bercakap sedikit atau dikenali sebagai pendiam? Saya yakin setiap orang sebenarnya memiliki kedua-dua karektor iaitu peramah dan pendiam di waktu tertentu dengan orang tertentu. Tetapi ada juga yang dilihat suka bercakap dan kelihatan seolah tidak penat dan terlalu perkara yang hendak diperkatakan. Ataupun kadang-kadang dilihat sebagai ‘over peramah’. Sesetengah orang pula kelihatan tidak gemar bercakap terutamanya dengan orang yang kurang dikenali. Mereka cuma bercakap banyak bila berjumpa dengan orang-orang yang rapat dengannya sahaja.
Saya sendiri sebenarnya tergolong dalam golongan bercakap sedikit dengan orang yang baru dikenali atau kurang dikenali. Tidak banyak topik yang boleh diperkatakan bila berjumpa dengan orang-orang yang baru. Mungkin disebabkan saya agak berhati-hati apabila bercakap atau meluahkan pendapat bersama dengan orang yang kurang dikenali kerana bimbang tersalah bahasa dan tutur kata yang boleh mengguris hati. Saya lebih suka mendengar sebelum mengeluarkan pendapat sendiri. Saya cuma banyak bercakap dengan orang-orang yang agak rapat . Tetapi saya agak kagum dengan sesetengah orang yang boleh berbicara macam-macam topik dengan sesiapa sahaja yang baru dikenali. Biasanya golongan peramah ini mudah masuk majlis dan menjadi ‘favourite’ kerana petah bercakap dan mengeluarkan pandangan.
Tetapi bila difikirkan,Allah kurniakan kita dengan dua telinga dan satu mulut bukan sebaliknya. Mungkin Allah mengkehendaki kita lebih banyak membuka telinga daripada membuka mulut. Ramai yang menyangka kemahiran berkomunikasi ialah kemahiran bercakap untuk mengemukakan pendapat, pemikiran dan perasaan dengan betul dan dengan terus terang. Jadi kita selalu digalakkan oleh penceramah-penceramah supaya jangan takut bercakap kerana bercakap itu baik, begitu kata mereka. Hal ini disebabkan bagi orang yang kurang bercakap, mereka tidak yakin pada diri sendiri untuk menggunakan bahasa apabila bercakap atau berbual dengan sesiapa sahaja.
Kita sentiasa disogokkan dengan pernyataan seperti “luahkan perasaan, jangan memendam perasaan. Jangan takut untuk luahkan apa yang difikirkan”. Di sekolah, kanak-kanak dilatih supaya pandai bercakap. apabila bercakap, mereka dapat mengumpul kosa kata yang banyak dan bijak menggunakan bahasa yang elok. Sekolah mengadakan berbagai-bagai aktiviti dan galakan bercakap. Pelbagai pertandingan dan hadiah disediakan oleh sekolah untuk menggalakkan kita berani bercakap. Di sekolah tidak ada hadiah disediakan untuk kanak-kanak yang menang dalam pertandingan mendengar. Jadi, tidak hairanlah kebanyakan lulusan sekolah tidak mempunyai kemahiran mendengar.
Kita selalu keliru, kita sangka orang yang pandai bercakap adalah orang yang banyak ilmu dan orang yang pintar. Orang banyak bercakap juga dianggap pandai "bermain" dengan bahasa. Ramai ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang pandai bercakap berasa suka hati kerana percaya mereka mendapat anak yang pintar. Berbeza dengan orang yang kurang cakap. Ada yang menganggap orang yang pendiam dan kurang bercakap ini pemalu, atau mungkin berasa ragu-ragu untuk menggunakan bahasa yang baik ketika bertutur dengan sesiapa sahaja.
Adalah susah apabila kita mahu bercakap dan mendengar serentak. Sama susahnya kalau kita cuba berdiri dan baring serentak. Nampaknya kita tidak ada pilihan. Kalau mahu mendengar kita mesti diam. Apabila kita ‘’sangat pandai” bercakap, bilakah masanya kita hendak mendengar? Padahal mendengar mempunyai fungsi-fungsi yang sangat penting.
Dalam konteks komunikasi juga menitikberatkan penggunaan bahasa yang betul. Kita mendengar untuk memahami orang-orang lain, untuk memahami diri sendiri, memahami peristiwa-peristiwa yang berlaku kepada kita, untuk memahami alam dan untuk belajar daripada orang- orang lain yang mengetahui perkara-perkara yang tidak kita ketahui ataupun yang tidak pernah kita alami lagi. Manusia lebih suka mendengar suaranya sendiri. Bunyi yang paling sedap di telinga kita ialah bunyi-bunyi yang kita keluarkan daripada mulut kita sendiri. Bukan bunyi-bunyi yang keluar daripada mulut orang lain. Patutlah pusat-pusat karaoke selalu penuh. Ciptaan itu memberi manusia peluang mendengar suaranya sendiri. Fitrah inilah yang menyebabkan manusia lebih suka kepada orang-orang yang memberi dia peluang mendengar suaranya sendiri.
Apabila kita banyak mendengar orang lain bercakap, lebih mudah bagi kita menjalin, mengekalkan, dan mencipta hubungan kasih sayang yang memuaskan kedua-dua belah pihak. Hubungan baik dan mesra itu terjalin kerana orang yang didengar suka menerima kehadiran si pendengar.
Sebagai manusia biasa, apabila banyak meluahkan kata-kata, kita terdorong untuk memperkatakan hal-hal yang tidak berkaitan atau dalam istilah lainya menjaga tepi kain orang ataupun mengumpat. Dalam bab mengumpat ni bukan setakat orang yang bercerita, malah yang mendengar pun turut mendapat “share” nya sekali. Kadangkala banyak bercakap tapi banyak pula kesalahan bahasa yang digunakan.
BICARA SANG PUTERI: Diam tidak bererti kurang ilmu bahasa dan banyak bercakap tidak bererti banyak ilmu bahasa. Tapi jangan la pula diam sampai langsung tidak bertegur sapa. Diam dan bercakap dan mendengar di waktu yang sepatutnya…d(^_^)b
0 comments:
Post a Comment