CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
...PerJalaNan MenGumPuL 1001 PenGaLaMaN hiDuP....

Tuesday, February 15, 2011

:: Situasi 12: Bahasa Melambangkan Keperibadian Bangsa ::

                                                                                    
Sudah lama saya perhatikan dan mendengar, baru kini saya terasa ingin berkongsi dengan anda semua berkaitan dengan politik tanahair. Bukan untuk mengaitkan dengan mana-mana pihak, tetapi saya hanya kaitkan dengan bahasa. Bukankah bahasa itu meliputi pelbagai aspek termasuklah dalam aspek politik. Pada mulanya, saya tidak tahu bagaimana hendak menzahirkan apa yang saya maksudkan. Sekarang politik di tanahair kita hanya tertumpu untuk mendapatkan atau mempertahankan pengaruh sahaja. Seringkali berlaku perkelahian, membidas, dan menghina dengan panggilan nama-nama yang kotor dan menjijikkan. Semata-mata untuk mendapatkan pengaruh dan mempertahankan pengaruh masing-masing. Bukankah  sikap sebegitu memberi impak kepada bahasa dan bangsa??
                                                                                    
Sebagai contoh, memanggil pemimpin dengan panggilan beruk, syaitan, babi, anjing dan berbagai superlatif yang tidak melambangkan sebagai seorang yang mempunyai tamadun dan seolah-olah tidak pernah mendapat pendidikan. Kita hairan dengan sikap manusia yang begini dan saya tidak tahu apa yang ada di dalam pemikiran serta naluri mereka apabila memanggil seseorang itu dengan panggilan yang hina itu. Ini merupakan sikap buruk yang tidak dapat diterima oleh manusia yang bertamadun.

Tidak semua orang bersetuju dengan semua orang dan tentu ada perbezaan pendapat dan ideologi dan tidak ada masalah untuk berbahas dan berdebat. Tetapi jika untuk menunjukkan kebenaran kita, mana-mana tamadun pun tidak boleh menerima seseorang tergamak memanggil orang yang berbeza dengan kita dengan babi, anjing, celaka, pembawa ajaran sesat, sial, anak haram, haram jadah dan berbagai-bagai lagi panggilan yang menghina. Sebagai manusia biasa, rasanya kita tidak boleh lari daripada berperasaan tidak suka pada sesiapa, tetapi TIDAK PERLULAH menggunakan bahasa kesat seperti babi, anjing, anak haram, haram jadah, penzina dan sebagainya. Sikap dan perangai sesetengah orang ini amat memalukan dan saya hairan kenapa mereka tidak malu kepada diri mereka sendiri?

Dalam agenda politik, sememangnya banyak kritikan dan perasaan tidak puas hati. Tetapi, kritiklah sebanyak mana sekali pun tetapi jangan jadikan nama panggilan yang tidak senonoh sebagai budaya kita kerana akhirnya ianya akan melambangkan nilai serta tahap ketamadunan kita.Kita boleh memarahi sesiapa dengan menggunakan kata-kata yang pedas tetapi jauhilah dari memanggil seseorang dengan panggilan seperti beruk, beruang, bangkai, najis dan apa-apa panggilan yang tidak melambangkan kita sebagai manusia yang Tuhan jadikan sebagai secantik-cantik kejadianNya. Seseorang itu mungkin membenci perangai sesiapa , tetapi kita masih tidak boleh membabikan atau menghina manusia yang secantik-cantik kejadian tuhan ini.

Saya menyentuh hal ini kerana budaya ini sudah menjadi sebati dalam kalangan sesetengah yang bercakap tentang politik dan saya khuatir satu hari nanti kita akan hilang identiti kita buat selama-lamanya. Hilangnya sesuatu bangsa itu di muka bumi ini bermula dari kehilangan identitinya. Sesuatu bangsa itu dikenali dengan identitinya yang tersendiri. Melayu beridentitikan budaya yang lemah lembut dan beradab serta beradat. Jika adab dan adat ini sudah hilang maka hilanglah bangsa kita itu.

Bukankah ‘bahasa itu melambangkan budaya dan bangsa kita’ atau pun ‘bahasa itu jiwa bangsa’? Orang Melayu tulen selalunya menggunakan bahasa yang pedas dan sindiran yang pedih jika memarahi pihak yang kita tidak suka, tetapi jika kita menggunakan bahasa kesat untuk tidak bersetuju maka kita bertanggunjawab jika bangsa kita hilang dibumi ini.

Tidak akan ada maknanya kita mengaku yang kita adalah bangsa yang sedang menempa kemajuan jika kita menggunakan bahasa kotor yang menjijikkan yang digunakan oleh manusia zaman batu itu. Tahap ketamadunan kita boleh dinilai dari bahasa yang kita gunakan dalam berinteraksi sesama manusia.

Kalau kita tidak merasa malu kepada orang lain, setidak-tidaknya malulah kepada diri kita sendiri. Saya tidak bermaksud untuk mengata sesiapa yang spesifik tetapi saya tujukan pandangan ini kepada semua pihak termasuk diri saya sendiri.

Siapa yang makan cili mereka tak payahlah menunjukan rasa pedasnya. Pujuklah diri kita sendiri untuk menjaga status kita yang diberi Tuhan sebagai khalifah dimuka bumi ini.
BICARA SANG PUTERI: Segala yang diperkatakan di atas tidak merujuk pada isu peribadi mana-mana pihak. Sekadar berkongsi ruang ilmiah dan renungan bersama...d(^_^)b

0 comments:

Post a Comment