CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
...PerJalaNan MenGumPuL 1001 PenGaLaMaN hiDuP....

Wednesday, February 23, 2011

:: Situasi 18: Bahasa dan Kehidupan



Kita dituntut untuk menuntut ilmu dalam pelbagai bidang. Kita perlu bertindak seiring dengan perubahan arus pemodenan. Saya tidak menolak akan hakikat semua itu. Namun, pertemuan selama 2 jam bersama seseorang yang begitu saya kagumi menambah pengetahuan saya mengenai kepentingan ilmu kehidupan. Beliau seorang wanita yang saya anggap sebagai seorang tokoh wanita yang penyayang dan bekerjaya. Beliau yang dimaksudkan ialah Puan Hajah Norlina bte Alawi , Pengasas & YDP PERNIM (Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/ AIDS Nurul Iman Malaysia ) serta Pengamanah Pusat Perlindungan PERNIM Berhad. Saya dan beberapa orang rakan tidak dapat membayangkan bagaimana seorang wanita seperti Puan Norlina mampu menjaga kebajikan yang sempurna terhadap kesemua anak-anaknya yang mencecah seramai 50 Orang termasuk anak kandungnya sendiri dan duduk dalam satu rumah yang dianggap sebagai keluarga besar.

                                                      

Dalam sesi menemu bual beliau, rakan saya ada mengajukan satu soalan iaitu:

Aisyah          : Puan, kami ketahui bahawa Puan mencurahkan kasih sayang yang terlalu mendalam terhadap anak-anak yang ramai ini. Puan tidak mahu mereka merasa tersisih, maka Puan menjaga semua kebajikan mereka dengan menjalani kehidupan dengan keluarga Puan sehingga menjadi keluarga yang besar dan bahagia. Namun begitu, bagaimana puan mendidik anak-anak yang ramai ini untuk menganggap Puan sebagai ibu dan dapat merasai kasih sayang ibu dan ayah?

Puan Norlina : Betul tu. Saya sangat menitikberatkan nilai kasih sayang terhadap semua insan termasuklah anak-anak yang dipelihara sekarang. Saya dan mereka semua hidup dalam situasi keluarga sebenar. Saya mementingkan bahasa saya dengan anak-anak. Saya seorang ibu, mestilah tunjuk contoh yang baik-baik dan membiasakan diri mereka memanggil saya dengan panggilan 'mama'. Oleh sebab itu, mereka merasakan hidup mereka masih ada seorang ibu. Mereka tidak tersisih dan terbiar. Sebagai contoh, jikalau menggunakan panggilan aku dengan anak-anak, mereka akan kurang rasa hormat kepada kita dan hubungan kekeluargaan tidak akan utuh. Begitu juga dengan kamu bertiga, bakal menjadi seorang pendidik. Patutke di sekolah nanti kamu membiasakan diri dengan panggilan aku apabila komunikasi dengan pelajar? Mustahil mereka akan hormat kamu. Itulah ilmu kehidupan yang perlu dipelajari. Dalam kehidupan, kita kena tahu menggunakan bahasa dan peranan bahasa itu sangat penting.

BICARA SANG PUTERI: Melalui bahasa juga mampu mendidik manusia tentang kehidupan...d(^_^)b

Sunday, February 20, 2011

:: Situasi 17: Siri Bercakap Dengan Orang Tua :

Situasi: :

                               

Semasa saya pergi ke pejabat Pos untuk menjelaskan bayaran bil, saya terserempak dengan seorang pakcik ( Pak Hassan ). Pak Hassan merupakan kawan kepada tok wan saya. Selepas selesai urusan di pejabat Pos,  Pak Hassan mengajak saya pergi minum.Oleh sebab kenal, jadi saya terima pelawaan Pak Hassan untuk minum di sebuah kedai yang berdekatan. Sambil-sambil tu boleh sembang apa yang patut. Saya sebenarnya memang sudah lama tidak berjumpa Pak Hassan ni. Ini pun sebab terjumpa dekat pejabat Pos tu. Pak Hassan ni rasanya saya dah boleh panggil tok wan kalau tengok dari fizikal dan raut wajah dia. Agak tua juga seakan sebaya dengan tok wan saya. . Arwah tok wan saya dulu cikgu sekolah, jadinya tidak pelik sangat kalau banyak orang kenal. Masa dia meninggal dulu pun banyak anak-anak murid dan kawan-kawan dia yang datang menziarah. Adat orang jenis suka berkawan macam tu la. Ramai kenalan sana sini.

Hampir dekat dua jam juga saya duduk bersembang  dengan Pak Hassan tu. Macam-macam topik perbualan yang kebanyakannya berkenaan dengan benda-benda dan kisah-kisah klasik. Bila seorang orang tua dan seorang anak muda yang kurang sikit pengetahuan tentang benda-benda lama ni duduk semeja, topik perbualan yang sebegitu adalah paling sesuai dan santai. Takkan hendak  cerita pasal iPad yang baru keluar tu kot. Nak cerita pasal cerita Slot Akasia Adamaya di TV3 (masa tu tengah hot Adamaya) yang budak budak sibuk dan seronok layan itupun macam tidak kena juga. Lagi pula saya pun baru sekali saja tertengok cerita tu. Kalau dua tiga kali saya tengok rasanya boleh terjebak sekali ketagih ni.

Ketika saya meminta diri untuk pulang dahulu, Pak Hassan hulur sekeping not warna merah suruh saya ambil. Duit minyak katanya. Mulanya saya tolak dengan penuh hormat. Lagi pun apa sangatlah jarak dari rumah saya itu. Tidak jauh mana pun. Pak Hassan suruh saya ambil juga. Katanya, " Kalau ada duit sejuta pun kalau orang bagi dekat kita kena ambil. Tu rezeki kita. Jangan tolak rezeki yang datang sebab kita tak tahu lagi rezeki kita ke depan macam mana". Lebih kurang macam tu ayat dia. Saya pun angguk sambil capai not warna merah tu. Memang betul pun apa yang dia cakap.  Makan dalam juga ayat dia tu.


BICARA SANG PUTERI: Berbual atau bersembang dengan orang yang lebih berusia dan lebih berpengalaman membuatkan kita sebagai anak muda sentiasa berhati-hati ketika berbicara dan menggunakan bahasa yang sopan....d(^_^)b

:: Situasi 16: Banyak Bercakap, Kurang Mendengar VS Kurang Bercakap, Banyak Mendengar :

                            
Anda tergolong dalam golongan mana? Bercakap banyak atau dalam erti kata lainnya peramah atau bercakap sedikit atau dikenali sebagai pendiam? Saya yakin setiap orang sebenarnya memiliki kedua-dua karektor iaitu peramah dan pendiam di waktu tertentu dengan orang tertentu. Tetapi ada juga yang dilihat suka bercakap dan kelihatan seolah tidak penat dan terlalu perkara yang hendak diperkatakan. Ataupun kadang-kadang dilihat sebagai ‘over peramah’. Sesetengah orang pula kelihatan tidak gemar bercakap terutamanya dengan orang yang kurang dikenali. Mereka cuma bercakap banyak bila berjumpa dengan orang-orang yang rapat dengannya sahaja.

Saya sendiri sebenarnya tergolong dalam golongan bercakap sedikit dengan orang yang baru dikenali atau kurang dikenali. Tidak banyak topik yang boleh diperkatakan bila berjumpa dengan orang-orang yang baru. Mungkin disebabkan saya agak berhati-hati apabila bercakap atau meluahkan pendapat bersama dengan orang yang kurang dikenali kerana bimbang tersalah bahasa dan tutur kata yang boleh mengguris hati. Saya lebih suka mendengar sebelum mengeluarkan pendapat sendiri. Saya cuma banyak bercakap dengan orang-orang yang agak rapat . Tetapi saya agak kagum dengan sesetengah orang yang boleh berbicara macam-macam topik dengan sesiapa sahaja yang baru dikenali. Biasanya golongan peramah ini mudah masuk majlis dan menjadi ‘favourite’ kerana petah bercakap dan mengeluarkan pandangan.

Tetapi bila difikirkan,Allah kurniakan kita dengan dua telinga dan satu mulut bukan sebaliknya. Mungkin Allah mengkehendaki kita lebih banyak membuka telinga daripada membuka mulut. Ramai yang menyangka kemahiran berkomunikasi ialah kemahiran bercakap untuk mengemukakan pendapat, pemikiran dan perasaan dengan betul dan dengan terus terang. Jadi kita selalu digalakkan oleh penceramah-penceramah supaya jangan takut bercakap kerana bercakap itu baik, begitu kata mereka. Hal ini disebabkan bagi orang yang kurang bercakap, mereka tidak yakin pada diri sendiri untuk menggunakan bahasa apabila bercakap atau berbual dengan sesiapa sahaja.

Kita sentiasa disogokkan dengan pernyataan seperti “luahkan perasaan, jangan memendam perasaan. Jangan takut untuk luahkan apa yang difikirkan”. Di sekolah, kanak-kanak dilatih supaya pandai bercakap. apabila bercakap, mereka dapat mengumpul kosa kata yang banyak dan bijak menggunakan bahasa yang elok. Sekolah mengadakan berbagai-bagai aktiviti dan galakan bercakap. Pelbagai pertandingan dan hadiah disediakan oleh sekolah untuk menggalakkan kita berani bercakap. Di sekolah tidak ada hadiah disediakan untuk kanak-kanak yang menang dalam pertandingan mendengar. Jadi, tidak hairanlah kebanyakan lulusan sekolah tidak mempunyai kemahiran mendengar.

Kita selalu keliru, kita sangka orang yang pandai bercakap adalah orang yang banyak ilmu dan orang yang pintar. Orang banyak bercakap juga dianggap pandai "bermain" dengan bahasa. Ramai ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang pandai bercakap berasa suka hati kerana percaya mereka mendapat anak yang pintar. Berbeza dengan orang yang kurang cakap. Ada yang menganggap orang yang pendiam dan kurang bercakap ini pemalu, atau mungkin berasa ragu-ragu untuk menggunakan bahasa yang baik ketika bertutur dengan sesiapa sahaja.

Adalah susah apabila kita mahu bercakap dan mendengar serentak. Sama susahnya kalau kita cuba berdiri dan baring serentak. Nampaknya kita tidak ada pilihan. Kalau mahu mendengar kita mesti diam. Apabila kita ‘’sangat pandai” bercakap, bilakah masanya kita hendak mendengar? Padahal mendengar mempunyai fungsi-fungsi yang sangat penting.

Dalam konteks komunikasi juga menitikberatkan penggunaan bahasa yang betul. Kita mendengar untuk memahami orang-orang lain, untuk memahami diri sendiri, memahami peristiwa-peristiwa yang berlaku kepada kita, untuk memahami alam dan untuk belajar daripada orang- orang lain yang mengetahui perkara-perkara yang tidak kita ketahui ataupun yang tidak pernah kita alami lagi. Manusia lebih suka mendengar suaranya sendiri. Bunyi yang paling sedap di telinga kita ialah bunyi-bunyi yang kita keluarkan daripada mulut kita sendiri. Bukan bunyi-bunyi yang keluar daripada mulut orang lain. Patutlah pusat-pusat karaoke selalu penuh. Ciptaan itu memberi manusia peluang mendengar suaranya sendiri. Fitrah inilah yang menyebabkan manusia lebih suka kepada orang-orang yang memberi dia peluang mendengar suaranya sendiri.

Apabila kita banyak mendengar orang lain bercakap, lebih mudah bagi kita menjalin, mengekalkan, dan mencipta hubungan kasih sayang yang memuaskan kedua-dua belah pihak. Hubungan baik dan mesra itu terjalin kerana orang yang didengar suka menerima kehadiran si pendengar.

Sebagai manusia biasa, apabila banyak meluahkan kata-kata, kita terdorong untuk memperkatakan hal-hal yang tidak berkaitan atau dalam istilah lainya menjaga tepi kain orang ataupun mengumpat. Dalam bab mengumpat ni bukan setakat orang yang bercerita, malah yang mendengar pun turut mendapat “share” nya sekali. Kadangkala banyak bercakap tapi banyak pula kesalahan bahasa yang digunakan.

BICARA SANG PUTERI: Diam tidak bererti kurang ilmu bahasa dan banyak bercakap tidak bererti banyak ilmu bahasa. Tapi jangan la pula diam sampai langsung tidak bertegur sapa. Diam dan bercakap dan mendengar di waktu yang sepatutnya…d(^_^)b

Friday, February 18, 2011

:: Situasi 15: Perlu ke berbicara dengan bahasa Kasar?? ::

                                                                           
Saya pernah mengalami perselisihan faham dengan seorang teman hanya disebabkan bahasa kasar yang digunakan. Ketika itu seorang teman mengajak saya untuk pergi menghadiri perbincangan bersama rakan lain. Tetapi berlaku sebaliknya. Kami tidak jadi pergi bersama, lantaran bahasa yang digunakan untuk mengajak saya itu tidak baik, bahasanya sungguh kasar bagi saya. Namun, saya fikir mungkin teman saya itu sedang banyak masalah sehingga tidak dapat kawal kata-katanya. Entahlah, Saya tidak mengetahuinya secara pasti.

Berdasarkan contoh kejadian di atas, tersirat bahawa betapa begitu pentingnya bahasa yang kita gunakan, samada ketika berbicara dengan orang yang lebih tua dari kita, sebaya, ataupun dengan mereka di bawah umur kita. Semua itu harus kita perhatikan, jangan sampai bahasa yang digunakan tidak ditapis oleh kita.

'Bahasa kasar hanyalah milik seorang penjajah yang dengan keji memerintahkan seorang jajahannya, untuk menuruti segala perintah dari penjajah tersebut'. Sekarang bukan zamannya bahasa kasar digunakan oleh kita. Kita bukan seorang penjajah dan tidak ada lagi penjajah, kita sudah merdeka.... Merdeka..!!! Merdeka..!!! Merdeka..!!! (^_^)

BICARA SANG PUTERI: Selalu menjaga kata-kata ketika berbicara supaya tidak menyentuh hati mana-mana pihak....d(^_^)b

:: Situasi 14: Kuasa Magis Bahasa ::

                                                                                  
Latah seperti juga amuk merujuk kepada tindak balas spontan dan di bawah sedar individu yang disebabkan oleh fikiran dan emosi yang terganggu seperti terkejut, keliru atau stres.

Latah dikatakan sindrom budaya pantul serta silang budaya yang eksotik dan stereotaip dalam kalangan masyarakat Melayu.  Malah, latah juga dikategorikan sebagai salah satu penyakit dan misteri. Bagi masyarakat Timur, khususnya masyarakat Malaysia, latah tidak dilihat sebagai penyakit. Hal ini demikian kerana jika latah merupakan sejenis penyakit, setiap penyakit tentulah ada penawarnya. Namun, sehingga kini belum ada lagi penawar untuk “penyakit” latah, dan sehingga kini juga, belum ada lagi mana-mana individu yang kuat melatah yang cuba mendapatkan rawatan secara profesional.

Latah dalam kalangan masyarakat Malaysia, khususnya dalam masyarakat Melayu lebih dilihat sebagai hiburan dan budaya yang unik yang termanifestasi melalui bahasa dan tindakan individu apabila melatah yang melibatkan bahasa lisan ataupun bukan lisan yang merangkumi bahasa badan, ekspresi muka, postur, gerak isyarat yang berlaku secara spontan, peniruan dan pengulangan akibat kejutan dan usikan yang dikaitkan dengan psikosomatik individu yang melatah.


Reaksi individu yang melatah adalah pelbagai. Ada yang menari, melompat, mengeluarkan kata-kata kesat, lucah, kotor, meniru aksi orang di sekeliling atau sebagainya. Tingkah laku itu mungkin dianggap satu bentuk hiburan kepada orang lain. Bahkan, sesebuah majlis perkahwinan atau kenduri kendara seakan-akan hilang serinya tanpa gelagat mereka yang melatah.

Semakin diusik atau disergah, semakin rancak mereka melatah.

Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, latah bermaksud seseorang (biasanya wanita) tidak sedar apa yang dilakukan, mengikut perbuatan atau suruhan orang lain tanpa disedari, mengeluarkan perkataan atau membuat sesuatu secara tidak sengaja kerana terperanjat.

Ironinya, ramai yang menyangka latah sering berlaku dalam kalangan wanita yang berumur 50 tahun ke atas. Sedangkan hakikatnya, latah juga boleh berlaku dalam kalangan orang muda tanpa mengira jantina. Sebelum ini, saya fikir latah hanya berlaku kepada wanita berumur. Tetapi, sangkaan itu meleset apabila didapati ramai yang mula melatah pada usia 22 tahun.


Pantang dicucuk, disergah atau terdengar bunyi mengejut, pantas saja melatah.

Justeru, apabila kerap bertemu rakan yang juga melatah, kesannya kedua-dua mereka akan melatah tanpa henti apabila terkejut. Lebih menjadi haru-biru apabila ada orang lain yang mengetahui kelemahan mereka akan mengambil kesempatan yang membuatkan mereka terus melatah.

                              
Situasi:
Jiran sebelah rumahku dihuni oleh seorang nenek yang cukup suka melatah. Nenek itu dikenali sebagai Esah latah. Mungkin dia mendapat gelaran itu di kampung kerana sikapnya yang suka melatah. Setiap petang nenek tersebut akan menyapu sampah di depan rumahnya. Abang sulungku pula suka mengusik nenek tersebut. Aku teringat lagi semasa nek Esah Latah sedang menyapu sampah di bawah pokok, secara tiba-tiba abang sulungku menyergah dari belakang. Secara spontan nek Esah melatah dan terus mengangkat penyapu dan mengejar abangku. Terpaksalah mereka berkejaran di bawah pokok. Peristiwa tersebut sangat lucu bila aku terkenangkan kembali. Walaupun melatah dianggap sebagai bahan senda gurau, tetapi perlu diingat bahawa kadang-kadang tindakan spontan si latah akan mengakibatkn kecederaan jika melibatkan alat-alat tajam. Hal ini disebabkan si latah dalam keadaan separuh sedar dan tidak sedar tindakannya. Tambahan lagi, tanpa kita sedari latah boleh menyebabkan individu tersebut berada dalam keadaan bawah sedar, hilang kawalan dan kepenatan.

BICARA SANG PUTERI: Masih tertanya-tanya samada melatah itu merupakan budaya bahasa masyarakat Melayu sejak dahulu atau penyakit??

Thursday, February 17, 2011

:: Situasi 13: Teguran, Kritikan atau kutukan ::

                                                                              
                                                                           
Selalunya perkara yang menjadi isu ialah kalau kita memandang seorang wanita yang berbaju kurung, nampak sopan, penampilan menarik, mesti kita juga akan menganggap budi bahasa dan pertuturannya juga menarik dan bersopan. Tetapi, nampak sahaja berpenampilan cun dan manis, cuba lihat pula cara pertuturannya. Bak kata sesetengah orang, " muka je cantik, tapi bila bercakap hancus!..." ( bahasa budak-budak zaman sekarang)
Isu ini dibangkitkan semasa aku mengikuti kelas Karya Agung. Pesyarah saya menegur seorang pelajar perempuan yang memberikan respon dengan cara yang tidak sopan. Pada pandangan pensyarah tersebut, pelajar perempuan tersebut cantik dan penampilan menarik, tetapi apabila terkejut dan memberikan respon " Hah??" dengan reaksi muka yang tidak sopan, agak memalukan bagi mata-mata yang memandang.

Sebenarnya banyak contoh yang kita boleh lihat dalam kehidupan seharian. Terutamanya semasa kita berbual dengan rakan, semasa sesi berbincang dengan pensyarah, semasa membeli kuih di gerai Kak Kiah atau sebagainya. Kadang-kadang perlakuan atau cara berbahasa kurang sopan akan terkeluar secara spontan.

                                          
                                                                                                                                              
Situasi dalam kelas:

Pensyarah: Saya nak 10 orang pelajar tadi buat tugasan tentang Sasterawan negara. Syahidah, kamu memilih siapa untuk buat tugasan ni?

Syahidah : Abdullah Hussain, prof.

Pensyarah : Anitah, kamu pula memilih siapa sasterawan negara untuk tugasan yang saya beri tadi? kamu kenal dengan Arenawati? tau nama sebenar beliau?


Anitah : hah?? ( ekperasi muka berkerut-kerut )

Tindakan atau respon Anitah yang secara spontan itu akhirnya ditegur oleh pensyarah. Beliau menasihatkan kepada pelajar perempuan terutamanya agar menjaga adab ketika bercakap sesuai dengan penampilan diri. Bagi sesetengah orang, respon yang diberikan oleh Anitah agak kurang sopan. Sepatutnya Anitah berkata atau menjawab, " Apa dia prof? saya kurang pasti la nama sebenar Arenawati ".

BICARA SANG PUTERI: Kami hanya tergelak-gelak melihat kawan kelas kami ditegur oleh pensyarah, tetapi dalam masa yang sama kita perlu mengambil teladan dan pengajaran berdasarkan teguran membina yang diberikan oleh pensyarah sebagai orang yang lebih berpengalaman.....
Terpulang kepada sesiapa untuk mentafsirkan nasihat yang diberikan itu sebagai teguran membina, kritikan atau kutukan...
~ Perlakuan kita dan cara kita berbahasa kadang-kadang melambangkan diri kita sendiri....~ d(^_^)b

Tuesday, February 15, 2011

:: Situasi 12: Bahasa Melambangkan Keperibadian Bangsa ::

                                                                                    
Sudah lama saya perhatikan dan mendengar, baru kini saya terasa ingin berkongsi dengan anda semua berkaitan dengan politik tanahair. Bukan untuk mengaitkan dengan mana-mana pihak, tetapi saya hanya kaitkan dengan bahasa. Bukankah bahasa itu meliputi pelbagai aspek termasuklah dalam aspek politik. Pada mulanya, saya tidak tahu bagaimana hendak menzahirkan apa yang saya maksudkan. Sekarang politik di tanahair kita hanya tertumpu untuk mendapatkan atau mempertahankan pengaruh sahaja. Seringkali berlaku perkelahian, membidas, dan menghina dengan panggilan nama-nama yang kotor dan menjijikkan. Semata-mata untuk mendapatkan pengaruh dan mempertahankan pengaruh masing-masing. Bukankah  sikap sebegitu memberi impak kepada bahasa dan bangsa??
                                                                                    
Sebagai contoh, memanggil pemimpin dengan panggilan beruk, syaitan, babi, anjing dan berbagai superlatif yang tidak melambangkan sebagai seorang yang mempunyai tamadun dan seolah-olah tidak pernah mendapat pendidikan. Kita hairan dengan sikap manusia yang begini dan saya tidak tahu apa yang ada di dalam pemikiran serta naluri mereka apabila memanggil seseorang itu dengan panggilan yang hina itu. Ini merupakan sikap buruk yang tidak dapat diterima oleh manusia yang bertamadun.

Tidak semua orang bersetuju dengan semua orang dan tentu ada perbezaan pendapat dan ideologi dan tidak ada masalah untuk berbahas dan berdebat. Tetapi jika untuk menunjukkan kebenaran kita, mana-mana tamadun pun tidak boleh menerima seseorang tergamak memanggil orang yang berbeza dengan kita dengan babi, anjing, celaka, pembawa ajaran sesat, sial, anak haram, haram jadah dan berbagai-bagai lagi panggilan yang menghina. Sebagai manusia biasa, rasanya kita tidak boleh lari daripada berperasaan tidak suka pada sesiapa, tetapi TIDAK PERLULAH menggunakan bahasa kesat seperti babi, anjing, anak haram, haram jadah, penzina dan sebagainya. Sikap dan perangai sesetengah orang ini amat memalukan dan saya hairan kenapa mereka tidak malu kepada diri mereka sendiri?

Dalam agenda politik, sememangnya banyak kritikan dan perasaan tidak puas hati. Tetapi, kritiklah sebanyak mana sekali pun tetapi jangan jadikan nama panggilan yang tidak senonoh sebagai budaya kita kerana akhirnya ianya akan melambangkan nilai serta tahap ketamadunan kita.Kita boleh memarahi sesiapa dengan menggunakan kata-kata yang pedas tetapi jauhilah dari memanggil seseorang dengan panggilan seperti beruk, beruang, bangkai, najis dan apa-apa panggilan yang tidak melambangkan kita sebagai manusia yang Tuhan jadikan sebagai secantik-cantik kejadianNya. Seseorang itu mungkin membenci perangai sesiapa , tetapi kita masih tidak boleh membabikan atau menghina manusia yang secantik-cantik kejadian tuhan ini.

Saya menyentuh hal ini kerana budaya ini sudah menjadi sebati dalam kalangan sesetengah yang bercakap tentang politik dan saya khuatir satu hari nanti kita akan hilang identiti kita buat selama-lamanya. Hilangnya sesuatu bangsa itu di muka bumi ini bermula dari kehilangan identitinya. Sesuatu bangsa itu dikenali dengan identitinya yang tersendiri. Melayu beridentitikan budaya yang lemah lembut dan beradab serta beradat. Jika adab dan adat ini sudah hilang maka hilanglah bangsa kita itu.

Bukankah ‘bahasa itu melambangkan budaya dan bangsa kita’ atau pun ‘bahasa itu jiwa bangsa’? Orang Melayu tulen selalunya menggunakan bahasa yang pedas dan sindiran yang pedih jika memarahi pihak yang kita tidak suka, tetapi jika kita menggunakan bahasa kesat untuk tidak bersetuju maka kita bertanggunjawab jika bangsa kita hilang dibumi ini.

Tidak akan ada maknanya kita mengaku yang kita adalah bangsa yang sedang menempa kemajuan jika kita menggunakan bahasa kotor yang menjijikkan yang digunakan oleh manusia zaman batu itu. Tahap ketamadunan kita boleh dinilai dari bahasa yang kita gunakan dalam berinteraksi sesama manusia.

Kalau kita tidak merasa malu kepada orang lain, setidak-tidaknya malulah kepada diri kita sendiri. Saya tidak bermaksud untuk mengata sesiapa yang spesifik tetapi saya tujukan pandangan ini kepada semua pihak termasuk diri saya sendiri.

Siapa yang makan cili mereka tak payahlah menunjukan rasa pedasnya. Pujuklah diri kita sendiri untuk menjaga status kita yang diberi Tuhan sebagai khalifah dimuka bumi ini.
BICARA SANG PUTERI: Segala yang diperkatakan di atas tidak merujuk pada isu peribadi mana-mana pihak. Sekadar berkongsi ruang ilmiah dan renungan bersama...d(^_^)b

: Situasi 11: Pengaruh Dialog Filem-filem Melayu ::

Kebelakangan ini, saya dapati dalam filem-filem Melayu yang ditayangkan, selain untuk  menyampaikan maksud untuk hiburan dan pengajaran, serba sedikit mempengaruhi masyarakat dari segi penggunaan bahasa. Sebagai contoh:


Saya juga turut tertarik untuk menonton cerita Hantu Kak Limah Balik Rumah kerana semua orang sibuk memperkatakan tentang cerita tersebut walaupun tajuknya seakan seram tetapi sangat lucu dan ada unsur-unsur komedi. Setelah menonton, barulah saya mengetahui bagaimana masyarakat sekarang memperoleh perkataan ' cer cite cer cite '. Begitu kuat pengaruh dialog dalam cerita tersebut sehingga masyarakat tidak kira lingkungan umur membiasakan diri mengggunakan perkataan tersebut dalam kehidupan seharian. Mengikut ejaan dan sebutan sebenarnya ialah cuba cerita namun dicipta perkataan baru menjadi cer cite cer cite...huhuu

BICARA SANG PUTERI: Salah satu pengaruh media massa dalam kehidupan masyarakat..

:: Situasi 10: Budaya Berbahasa Golongan Remaja dalam Perbualan ::

                                                                               

Komunikasi dan cara berinteraksi bagi golongan remaja pada zaman moden kini banyak dipengaruhi pelbagai faktor. Penggunaan bahasa yang bercampur-campur dan mencipta bahasa baru. Sebagai contoh penggunaan perkataan korang dan kitorang selalu sahaja digunakan dalam perbualan mereka.

Alia : Korang jadi tak kita nak pinjam buku tu?
Intan : Nantila kitorang bagitau esok

BICARA SANG PUTERI: Selagi boleh dielakkan, kita boleh elakkan diri menggunakan bahasa yang sebegitu dan berbahasa dengan betul dalam perbualan...d(^_^)b

Saturday, February 12, 2011

:: Situasi 9: Ragam Bahasa Media Internet dan Ekspresi ::

                                       mesin pencari


Kemajuan teknologi di bidang informasi dan komunikasi , agaknya telah memberikan pengaruh besar terhadap pola dan gaya interaksi manusia. Jarak dan luas wilayah komunikasi dalam media internet telah menembus batas dimensi ruang dan waktu. Manusia masa kini tak cukup hanya berkomunikasi secara sosial di dunia nyata, tetapi juga telah jauh merambah berinteraksi secara maya melalui media internet. Jumlah pengguna internet belakangan ini meningkat.  Jumlah itu dipastikan terus bertambah seiring dengan meningkatnya jumlah jejaring sosial yang memberikan kemudahan dan memanjakan penggunanya dalam berinteraksi secara maya sebagai media ekspresi.

                                 
Semasa aku menemani ibuku pergi ke pasar, aku ternampak beberapa orang remaja lelaki dan perempuan masuk ke dalam sebuah kedai yang memberi perkhidmatan untuk melayari internet. Aku terfikir, mesti mereka ingin mengisi masa lapang dengan melayari laman-laman sosial seperti facebook ataupun mencari maklumat penting. Tetiba hati aku terdetik untuk menyentuh isu bahasa dalam media internet.

Penggunaan ragam bahasa di media internet sebagai sarana untuk berekspresi. Bahasa tak semata-mata dimanfaatkan sebatas untuk menyampaikan informasi tetapi juga digunakan sebagai media untuk memberikan hiburan dan mempengaruhi pengguna internet . Melalui web atau laman sosial seperti facebook, seorang pemegang akaun web atau laman sosial dapat memanfaatkan bahasa untuk berbagai macam kepentingan sesuai. Dengan kata lain, bahasa juga mampu memperngaruhi kehidupan manusia masa kini.
Persoalannya sekarang, mampukah web atau laman sosial seperti facebook, friendster dan sebagainya yang secara umumnya menunjukkan perkembangan yang cepat dan dinamis memberikan pengaruh positif terhadap penggunaan bahasa Melayu secara baik dan benar? Mampukah media internet memainkan peranan ]sebagai media virtual yang mampu mewujudkan bahasa Melayu yang lebih terhormat dan bermartabat?

BICARA SANG PUTERIZaman sekarang merupakan zaman yang serba moden. Buktinya perkembangan media internet yang semakin meningkat mempengaruhi masyarakat. Walaupun begitu, kepentingan berbahasa dan penggunaan bahasa dalam komunikasi dan interaksi tidak boleh dipandang ringan kerana bahasa melambangkan budaya...d(^_^)b

Wednesday, February 9, 2011

:: Situasi 8: Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya ::

                                                                           
Kanak-kanak mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling mereka. Mereka akan meniru semula segala apa yang dilihat, didengar dan diterima. Nur 'Annisa Aliya, seorang kanak-kanak berusia 4 tahun. Ibunya telah menghantar Aliya belajar di sekolah pra. Aliya sangat petah bercakap dan walaupun baru berumur 4 tahun, namun dia boleh menggunakan banyak kosa kata.
Begitu juga dengan penggunaan bahasa mengenai kata ganti nama diri orang pertama. Mungkin semasa di sekolah, Aliya diajar  menggunakan perkataan 'saya' lebih sopan dan baik didengar berbanding perkataan 'aku'. Ikutilah situasi di bawah:

                                                                         

Situasi: Perbualan Yatimah dengan  Halijah,
Yatimah : Semalam aku pergi kedai yang kau cakapkn tu Lijah. Tapi aku tak jumpa pun baju yang aku berkenan tu

Halijah : Betulke kau pergi kedai tu?

Tiba-tiba perbualan Yatimah dan Halijah terhenti apabila anak perempuan Yatimah, Aliya yang berusia 4 tahun menyampuk,

Aliya : Ibu, mana boleh sebut 'aku' . Cikgu kat sekolah Yaya kata kena sebut ' saya ' la.

Berdasarkan situasi tersebut, walaupun Aliya masih berusia 4 tahun, dia  telah dihantar ke sekolah pra. Oleh itu, Aliya telah mempelajari dan memahami penggunaan bahasa yang sopan. Bagi kanak-kanak, apa yang dipelajari itulah yang perkara betul bagi mereka.

BICARA SANG PUTERI: Bagi situasi di atas, Aliya kanak-kanak perlu didedahkan dengan keadaan sekeliling yang positif terutamanya penggunaan bahasa. Hal ini penting kerana pada peringkat awal kanak-kanak mengalami peringkat pemerolehan bahasa.